Saturday, November 28, 2009
Lawatan Murid-Murid Dan Keluarga SK.Pinawantai Ke Sungai Tagalan Luanti Ranau
SK.pinawantai telah mengadakan lawatan sambil belajar di Sungai Tagalan Luanti Ranau. Lawatan ini dianjurkan oleh murid-murid tahun 6 2009 yang bakal akan meninggalkan sekolah ini bagi melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah nanti.
Lawatan ini juga turut disertai oleh keluarga guru-guru dan staff sekolah. Aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah seperti mandi-manda, bersiar-siar di sekitar sungai, jamuan makan di tepi sungai, melihat ikan pelian (garap), dan sebagainya.
Sungai disini adalah salah satu sungai yang mendapat pengiktirafan oleh Jabatan Perikanan kerana pelaksanaan sistem tagalan yang berjaya dan pemulihan sistem ekosistem yang mantap.
Para pengunjung yang datang kesini berkesempatan untuk merendamkan diri dalam air sungai dan dikerumuni oleh ikan-ikan dan dipercayai boleh memberikan rawatan secara urutan melalui mulut ikan-ikan tersebut. Para pengunjung akan dicaj mengikut caj yang telah ditetapkan, walaupun agak mahal tetapi para pengunjung agak berpuas hati...
Harap-harap pihak Luanti akan memberikan kebenaran kepada kami untuk melawat secara percuma pada masa akan datang..... Hidup Luanti.......
Thursday, June 11, 2009
Sejarah Dan Pengenalan SK. Pinawantai Ranau.
SK. Pinawantai Ranau adalah sebuah sekolah luar bandar yang terletak di kawasan laluan jalan ‘gravel’ ke Kota Marudu kira-kira 40 kilometer dari Pekan Ranau dan merupakan salah sebuah sekolah yang terawal didirikan di sekitar Zon Garas. Di persekitaran sekolah merupakan peninggalan perusahaan ladang koko kerajaan yang telah lama di hentikan pengeluarannya. Beberapa kampung sekitar sekolah adalah Kg. Pinawantai (1 kilometer), Kg. Pahu (3 Kilometer), Kg. Soborong (2 kilometer), Kg. Turuntungon (4 kilometer) dan Kg. Monggis (6 kilometer). Nama SK. Pinawantai diambil bersempena sebuah lagenda Kg. Pinawantai yang berlaku beberapa dekad yang lampau.
SK. Pinawantai Ranau telah mula beroperasi pada tahun 60-an dan Guru Besar pertama yang telah berkhidmat dan menerajui sekolah ini adalah Encik Tan Sang Hock Bachi (1968 – 1980). Antara Guru Besar yang pernah berkhidmat di sekolah ini ialah Encik James Tan Bachi, Encik Talib Kindohon, Encik John Tingoh, Encik Maharin Mahali, Encik Ahmad Salleh, Encik Thomas Gambisir, Encik Juhumat Kasuman, Encik Francis Endam dan kini SK. Pinawantai diterajui oleh Encik Husain Sian mulai Mac 2006. Secara keseluruhannya jentera SK. Pinawantai Ranau kini terdiri daripada 19 orang guru termasuk kerani, Pembantu Prasekolah dan pekerja swasta manakala jumlah murid keseluruhannya termasuk Prasekolah adalah seramai 166 orang.
Bagi kemudahan bangunan pentadbiran dan kelas pula, SK. Pinawantai Ranau mempunyai Bangunan Pentadbiran, bangunan Prasekolah, bangunan kelas Tahun Empat/Enam, kelas Tahun Lima/Dua, dan tandas. Bangunan Pentadbiran tersebut merangkumi bilik kelas Tahun Satu, Tahun Tiga, Bilik Agama, Bilik Komputer, Pusat Sumber dan stor. SK. Pinawantai juga mempunyai dua blok bangunan berkembar rumah guru dan staf. Di atas usaha PIBG, bangunan Kantin, RAMT, Dewan Mini, dan ‘Grand Stand’ telah berjaya dibina untuk menambah kemudahan sekolah. Melengkapi kemudahan asas sekolah, sejumlah peruntukan yang besar telah diperuntukkan untuk membekalkan sekolah dengan bekalan air bersih dari hulu sungai Pondiruon dilengkapi dengan beberapa gulung paip (berukuran empat, tiga, dua dan setengah inci) di samping beberapa buah tangki hitam dan biru. Sekolah juga telah dibina sebuah Stesyen Solar Hybrid dan mula diguna pada tahun 2008.
Dari segi kurikulum pula, sepertimana yang dilaungkan, SK. Pinawantai Ranau tidak ketinggalan untuk sama-sama menyahut cabaran kerajaan memartabatkan sistem pendidikan negara. Langkah-langkah strategik telah diambil untuk mencapai tujuan tersebut, terutama untuk mencapai kejayaan cemerlang di dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Hasilnya beberapa murid berjaya mendapat keputusan cemerlang di dalam UPSR dan peningkatan jumlah kelulusan dalam kesemua matapelajaran. Guru-guru tahap satu dan prasekolah juga telah sama-sama menggembeling tenaga untuk berusaha mengurangkan kadar murid yang tidak menguasai 3M. Pelbagai usaha berterusan telah diambil dan dilaksanakan termasuklah menjalankan program KIA2M, perlaksanaan PROTIM, program “3+2”, pemulihan dan Bimbingan/Kaunseling.
Seiringan dengan itu, bidang kokurikulum juga menjadi agenda penting sekolah untuk memenuhi tuntutan intipati Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Kejayaan demi kejayaan telah berjaya diraih oleh atlet-atlet sekolah. Ini termasuklah dari peringkat MSSM Zon Garas, kemudian ke peringkat MSSM Daerah, MSSM KOBTAR, MSSM Negeri dan seterusnya ke peringkat MSSM Kebangsaan. Kejayaan-kejayaan ini telah menjadi satu kebanggaan dan menjadi tunjang utama sekolah untuk terus maju di dalam bidang kokurikulum. Meskipun SK. Pinawantai Ranau adalah sebuah sekolah yang kecil namun kejayaan-kejayaan tersebut menjadikannya sebuah sekolah yang disegani.
Justeru, SK. Pinawantai Ranau akan terus berusaha dan menyusun strategi-strategi strategik untuk memperkasakan bidang kurikulum dan kokurikulum demi untuk memenuhi tuntutan FPN. SK. Pinawantai juga berharap agar usaha yang berterusan ini akan mampu untuk melahirkan pelajar yang berakhlak mulia, berketrampilan, berdaya saing dan berkualiti. Selaras dengan itu, semangat berkerjasama dan berkumpulan akan terus menjadi suatu wacana dan pemangkin utama untuk mencapai dan merealisasikan matlamat Visi dan Misi sekolah.